DAY 1 KEM RUN TO THE HERO!

Jumaat, 27 April 2018

Hari ini merupakan hari pertama dan secara rasminya bermula program Run to the Hero. Kami semua telah berkumpul di Surau Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya seawal jam 9.00 pagi. Pada awalnya, kami bercadang untuk bergambar dahulu sebelum bertolak ke SAMTTAJ tetapi terdapat beberapa orang yang masih tidak sampai API pada waktu tersebut dan van juga telah sampai maka kami semua bersetuju untuk bergambar bersama di SAMTTAJ sahaja.

Seramai 7 orang perempuan menaiki van yang telah ditempah khas oleh saudara Akram dan mereka semua membawa barang - barang keperluan program seperti tali, pen marker, kotak fail dan sebagainya. Manakala, selebihnya iaitu seramai 5 orang menaiki kereta saudara Amin yang ditemani oleh saudara Ezzat. Bagi pelajar lelaki, semua telah bergerak ke destinasi menggunakan motosikal masing - masing.

Seawal jam 10.20 pagi, kami semua telah selamat sampai di SAMTTAJ dengan baiknya dan disambut dengan cukup sempurna oleh pihak sekolah. Salah seorang ustazah SAMTTAJ yang banyak membantu urusan pengesahan pelaksanaan program ini telah mengalu - alukan kedatangan kami di Musolla SAMTTAJ.



Kami semua telah diberi sedikit taklimat dan penerangan oleh ustazah tentang kemudahan - kemudahan yang akan kami gunakan sepanjang program termasuklah kediaman asrama, dewan utama, dewan makan dan PA System. Ustazah juga memaklumkan kepada kami tentang status dan gambaran awal tentang keadaan batch Form 1 dan Form 2 supaya mudah untuk kami melaksanakan program selama 3 hari 2 malam di sini. Perjumpaan berakhir pada jam 11.45 pagi dan kami tangkap gambar bersama - sama sebelum ustazah mengundur diri. Kemudian kami semua bergerak ke Dewan Makan untuk makan tengahari.




Tepat jam 2.00 petang, sesi pendaftaran telah bermula dan kami semua telah menyediakan dua buah meja di kiri dan kanan dewan bagi pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 mendaftarkan diri mereka. Jumlah pelajar yang hadir ke program pada petang itu ialah seramai 163 orang pelajar daripada 194 orang pelajar keseluruhan bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 2. Kami semua berasa sangat gembira dan seronok kerana hampir keseluruhan pelajar berjaya menghadirkan diri ke Program Run To The Hero ini.






Kami memulakan program dengan sesi memperkenalkan diri masing - masing bagi setiap fasilatator. Bermula dengan Pengarah dan Timbalan Pengarah program sehinggalah kepada Jawatankuasa Induk bagi carta organisasi kami. Kami semua memperkenalkan nama, asal dan nama panggilan sepanjang program ini berlangsung. Masing - masing berjaya menarik perhatian para pelajar dengan gaya kreativiti dan keunikan yang tersendiri. Ada juga sesetengah kami terus mengajar beberapa sorakan semangat iaitu sorakan boleh ke tak dan sorakan SAMTTAJ.



Selesai sahaja sesi memperkenalkan diri masing - masing dalam kalangan fasilatator, kami meneruskan pula dengan sesi Ice Breaking dalam kalangan pelajar - pelajar. Pada mulanya, kami membuat sedikit permainan terlebih dahulu iaitu kami meminta mereka mengumpul mengikut tarikh kelahiran mereka dan seterusnya berkumpul mengikut warna fail masing - masing pula. Para pelajar kelihatan sangat seronok dan gembira dengan permainan seperti ini. Akhirnya, mereka semua berkumpul mengikut nombor yang telah ditulis di belakang fail masing - masing dan itulah kumpulan mereka yang sebenar. Terdapat 10 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada 14 hingga 16 orang pelajar lelaki dan perempuan dan 2 fasilatator akan menjaga bagi setiap kumpulan.

Seusai sahaja pembahagian kumpulan, kami semua memperkenalkan diri masing - masing dalam ahli kumpulan dan seterusnya barisan fasi telah memberikan barang amanah kepada setiap orang iaitu 2 butir jagung dan sehelai kain. Kain tersebut perlu ditulis nama panggilan masing - masing dan diikat di atas kepala. Kami juga telah menerangkan senarai peraturan yang kami semua telah tetapkan sepanjang program ini berlangsung termasuklah pemakaian yang kemas dan sopan, menepati waktu dengan kehadiran 10 minit lebih awal serta penjagaan barang amanah dan merit setiap kumpulan. Sepanjang Kem Run To The Hero, kami semua akan menunaikan solat fardhu dan solat sunat di dewan utama sahaja.

Pada sesi petang pula, para pelajar telah diminta berkumpul di gelanggang bola keranjang berhadapan dengan asrama pelajar perempuan dengan berpakaian sukan. Kami semua telah melakukan aktiviti riadah dengan bermain sebuah permainan yang dinamakan Catch Me If You Can iaitu sebuah permainan di mana para pelajar perlu beratur memanjang mengikut kumpulan masing - masing dan mereka perlu membaling belon dari hadapan ke belakang tanpa pecah dan selamat. Para pelajar sangat gembira dan seronok sepanjang aktiviti riadah ini dijalankan.



Tepat jam 6.00 petang, para pelajar telah dilepaskan untuk makan malam dan sesi khidmat diri. Cuaca pada petang itu sangat tidak baik kerana selepas sahaja aktiviti riadah selesai, bumi SAMTTAJ telah hujan dengan lebatnya ditemenai angin yag sangat kuat serta dentuman guruh dan petir yang menyambar - nyambar. Alhamdulillah, tiada apa - apa masalah atau kecelakaan yang berlaku.

Sejurus selepas menunaikan solat maghrib, kami telah meneruskan dengan sesi tazkirah yang telah disampaikan oleh saudara Abu Hassan dan Rizal. Mereka telah menyentuh mengenai adab, akhlak dan pengalaman - pengalaman mereka sepanjang berada di asrama ketika di sekolah menengah dahulu. Sebelum menunaikan solat isyak, kami semua telah membuat sesi perlantikan penghulu dan penghuluwati untuk sepanjang program ini. Hasil undian majoriti, penghulu ialah Zubair dan penghuluwati ialah Iman Batrisyia dan kedua - duanya ialah pelajar Tingkatan 2.




Tepat jam 9.00 malam, kami semua telah mengajar pergerakan kepadan adik - adik lagu tema bagi program Run To The Hero iaitu Gelombang Keadilan oleh Shotul Harakah. Para pelajar sangat teruja dengan pergerakan yang diajar oleh para fasilatator. Mereka semua juga mengatakan bahawa mereka tidak pernah mendengar lagu ini dan ini merupakan kali pertama mereka membuat gerakan menggunakan lagu ini. Kemudian, kami meneruskan dengan Latihan Dalam Kumpulan 1 (LDK1) iaitu Kau, Aku dan Kita.





LDK 1 ini mengikut kumpulan masing - masing dan apa yang mereka perlu lakukan ialah setiap kumpulan perlu memilih nama kumpulan mereka bertemakan nama - nama sahabat Rasulullah SAW. Pada masa yang sama, mereka perlu mencipta logo, visi dan misi dan sorakan semangat bagi kumpulan mereka. Aktiviti ini bertujuan mengasah nilai kreativiti dan semangat kerjasama berkumpulan di samping memupuk rasa cinta terhadap para sahabat Rasulullah SAW. Hasilnya, setiap kumpulan telah membentangkan nama kumpulan masing - masing dan menunjukan sorakan semangat mereka kepada kumpulan lain. Pada malam ini, mereka semua sangat seronok dan kelihatan sangat besemangat positif. Antara nama kumpulan yang dipilih ialah Zubair, Bilal Bin Rabah, Khalid Al-Walid dan Hamzah.


Aktiviti LDK1 pada malam ini telah berjaya diselesaikan pada jam 10.30 malam dan kami telah memberi masa selama 15 minit kepada para pelajar untuk makan supper di dewan makan dan mereka semua perlu datang semula ke dewan utama untuk sesi bacaan Al-Mulk bersama - sama. Selepas itu, para pelajar dilepaskan ke asrama masing - masing untuk merehatkan diri. Manakala, para fasilatator pula, kami telah mengadakan sesi post-mortem bagi perjalanan aktiviti pada hari ini dan perbincangan serta perancangan tentang pelaksanaan program pada keesokan hari. Kami bersurai pada jam 1.30 pagi.



EZZAT EZZUDDIN BIN ABDUL JALIL
IIE170008





Comments

Popular posts from this blog

UNIT LOGISTIK & PENGANGKUTAN

UNIT PROGRAM & PROTOKOL

UNIT TAJAAN & DANA